Tuesday 29 November 2016

Bulan sabit lambang harapan

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) adalah sebuah badan sukarela yang bertaraf antarabangsa. Namun, PBSMM tidak 'badan bukan kerajaan' (non-governmental organisation - NGO), kerana pada hakikat sebenarnya ia adalah 'badan penyokong kerajaan' (auxilliary to the government) yang ditubuh di bawah Akta Parlimen No 47/65 (Pindaan 540).

Logo Bulan Sabit Merah berwarna merah yang berlatarbelakangkan tanah putih (red crescent on a whith background) adalah satu lambang yang membawa erti 'pengenalan dan perlindungan'.

Justeru itu, terutama pada masa peperangan, darurat, kecemasan atau bencana, kemunculan lambang bulan sabit merah amat-amat ditunggu-tunggu kerana ia membawa harapan kepada mereka yang malang dan memerlukan bantuan. 

Mereka mengharapkan mendapat pertolongan, perlindungan dan bantuan peri kemanusiaan.

Maka, itulah yang mereka dapat, biarpun mungkin tidak sepenuhnya. Sedikit itu lebih baik daripada tidak mendapat langsung, kerana dengan sedikit itu mungkin dapat menyelamatkan nyawa dan meringankan kesengsaaan yang ditanggung.

Sesungguhnya, setiap ahli sentiasa disemai dengan ingatan akan tujuan murni perkhidmatan kemanusiaan persatuan yang perlu didukung bersama, di samping sentiasa bersedia membantu dan memberi harapan hidup yang lebih baik dan selesa kepada mangsa, Insyaalah.

Bantuan yang dihulurkan melepasi batasan sempadan agama, bangsa, kepercayaan, fahaman politik, negara dan geografi. Ini selaras penciptaan manusia.

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain. Yang lebih mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

PBSMM sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai dalam kerja-kerja sukarela. Mereka akan diberi latihan yang selayaknya untuk membolehkan memberi khidmat kepada masyarakat, terutama dalam pertolongan cemas dan kerja-kerja membantu mangsa.

Kepada yang tidak berkesempatan menyumbangkan tenaga, mereka juga dialu-alukan untuk menyumbang dari segi wang, peralatan dan kemudahan yang dapat membantu melancarkan aktiviti PBSMM.

Sama ada ingin menjadi ahli atau memberi sumbangan, anda boleh berkunjung ke pejabat PBSMM yang terdapat di seluruh negara. Sumbangan anda amat-amat dialu-alukan.

No comments:

Post a Comment