Tuesday 29 November 2016

TIDAK PERLU BERSEDIH RAKAN TINGGALKAN KITA

Dalam perjuangan pasti ada rakan meninggalkan kita mencari jalan yang pada mereka lebih baik dan bersesuaian dengan kehendak dan kepentingan diperjuangkan. 

"Sesungguhnya saudara-saudara kamu itu telah memilih jalan ini (kumpulan lain) untuk mereka. Jadi biarkanlah mereka dengan pilihan mereka itu sehingga amal itu memberikan sebaik-baik petunjuk kepada mereka, amal itu menjadi sebaik-baik murshid kepada manhaj yang betul. Jangan sekali-kali kamu berburuk sangka kepada mereka. Janganlah kamu mengganggu mereka sama ada perkataan atau perbuatan. Jangan dendami mereka malah pupuklah cinta dan persaudaraan terhadap mereka"
- Ucapan Hassan Al Banna terhadap orang yang keluar dari Ikhwanul Muslimin

Slogan bagi pendakwah Islam dalam melaksanakan tugas mereka adalah seperti firman Allah bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Nabi SAW melaksanakan segala urusan dakwahnya dengan penuh hikmah serta memerintahkan sahabat untuk berdakwah menggunakan kebijaksanaan sesuai dengan perintah Allah supaya hambanya berpesan ke arah kebenaran dengan kesabaran.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia sudah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia sudah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya.

Sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (saja) dengan pedang? Baginda menjawab: Jangan, selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi bermaksud: “Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pula mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu.

Baginda ditanya: Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang? Jawab Baginda: Tidak, selagi mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, dia hendaklah membenci maksiat tersebut, namun jangan mencabut tangan daripada ketaatan.” (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment